Thursday, March 3, 2011

pemberhentian 13,000 guru sandaran di tarik balik



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan berita gembira buat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang menerima surat pemberhentian pada tahun lepas bahawa notis itu ditarik balik.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata beliau telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus dikekalkan. 

"Saya minta ketua pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun, kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dividen ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas Tongod di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak dan terdapat pemintaan termasuk daripada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar kontrak mereka ini disambung semula.

Muhyiddin berkata beliau sudah mengeluarkan arahan sejak dua bulan lepas bagi menarik balik surat pemberhentian itu dan mengekalkan khidmat GSTT terlibat.

Menurutnya keputusan mengekalkan GSTT adalah bagi memberi mereka peluang menjadi guru yang terlatih.

"Jika mereka hendak diserapkan kepada guru terlatih dan tidak cukup kelayakan, pendekatan yang sesuai diambil adalah memberi mereka peluang mengikuti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti," katanya.

Menurut beliau, pendekatan ini membolehkan GSTT meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang mata pelajaran pilihan bukan am seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik.

Muhyiddin mengingatkan GSTT supaya bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar bertugas semula di sekolah asal.

"Pengambilan GSTT yang baru jangan diisi dahulu tetapi disemak dahulu dengan Pengarah Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran," katanya.



SUMBER : BERNAMA

1 org cikgu tanda buku:

Mainur Hasnah on March 3, 2011 at 9:26 PM said...

apa nasib kita nanti.. kena bersaing lah nampaknya nak posting

Post a Comment


ShoutMix chat widget
 

kami cikgu blogger Copyright © 2010 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!